JAKARTA: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) melaporkan gempa bumi magnitud 6.5 melanda pantai pulau Jawa di Indonesia semalam, Sabtu.
Gempa itu, yang direkodkan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada magnitud 6.1, dirasai di ibu kota Jakarta – di mana orang ramai terpaksa mengosongkan bangunan – dan di Bandung yang berdekatan.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan menurut BMKG dan USGS melaporkan gempa bumi berlaku pada kedalaman 68.3 kilometer (km).
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, sering mengalami gempa bumi susulan kedudukannya di ‘Lingkaran Api’ Pasifik, lengkok aktiviti seismik yang aktif di mana plat tektonik kerap berlanggar, merentasi dari Jepun melalui Asia Tenggara ke lembangan Pasifik.
Untuk rekod, gempa bumi berukuran 6.2 yang menggegarkan pulau Sulawesi pada Januari 2021 mengorbankan lebih 100 orang dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.
Manakala pada 2018, gempa bumi berukuran 7.5 dan tsunami berikutnya di Palu, Sulawesi telah mengorbankan lebih 2,200 orang.
Pada 2004, gempa bumi magnitud 9.1 melanda wilayah Aceh, menyebabkan tsunami dan membunuh lebih daripada 170,000 orang di Indonesia.
Nnnn
