Hamzah urus status 6 ahli Parlimen Bersatu

HULU SELANGOR 21 April – Setiausaha Agung Bersatu,  Hamzah Zainudin akan mengeluarkan notis berhubung status kedudukan enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, parti sudah berbincang dan membuat keputusan berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada Hamzah untuk tibdakan selanjutnya.

“Kita akan ambil langkah-langkah yang sudah dipersetujui dalam tempoh seminggu ini. Oleh itu, kita serahkan kepada pihak Setiausaha Agung untuk melaksanakannya. Jadi, tunggu sahajalah (tindakan lanjut),” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu, di sini.

Media sebelum ini melaporkan Bersatu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti berkuat kuasa 1 April lalu.

Ini selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2 April lalu, meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas.

Muhyiddin dilaporkan berkata, jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti berkuat kuasa, iaitu kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Enam Ahli Parlimen itu adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Kapten (B) Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment