Adakah Zahid perlu contohi Musa Hitam?

JOHOR BAHRU 21 April – Tindakan Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib Tun Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 boleh mencetuskan krisis Perlembagaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam kenyataannya berkata, tindakan Ahmad Zahid selaku seorang Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang sedang memerintah membawa makna Presiden UMNO itu secara rasminya mencabar keputusan Lembaga Pengampunan dan kerajaan.

“Persoalannya apa implikasi undang-undang, etika bekerajaan dan prinsip tanggungjawab bersama atau ‘collective responsibility’ jika si Timbalan Perdana Menteri memisahkan dirinya daripada keputusan kerajaannya sendiri yang bertindak di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan?,” katanya.

Ahmad Zahid pada 17 April lalu dilaporkan mengikrarkan afidavit itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Presiden UMNO itu menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

Hassan mempersoalkan apakah implikasi perundangan dan etika berjemaah dalam Kabinet sekiranya seorang Timbalan Perdana Menteri mengikrarkan afidavit yang menyokong permohonan seorang bekas Perdana Menteri yang memfailkan satu permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.

“Jika mantan Perdana Menteri keenam memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kerajaan dan menamakan beberapa responden terdiri daripada beberapa menteri kerajaan, termasuk Peguam Negara, Pengarah Penjara dan Lembaga Pengampunan.

“Maka ia bermakna si pemohon itu mencabar keputusan Lembaga Pengampunan dan kerajaan dengan anggapan dan dakwaan serta tuduhan bahawa keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan itu telah silap diputuskan. Ertinya kerajaan telah silap buat keputusan,” katanya.

Hassan turut mengimbas kembali , situasi pada 1986 apabila Musa Hitam berubdur darpada Kabinet dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana dan Menteri Menteri Dalam Negeri kerana tidak bersetuju dengan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad pada 1986.

Katanya, keputusan Musa itu dihormati rakyat sehingga ke hari ini kerana berprinsip apabila tidak bersetuju dengan Dr Mahathir.

“Jadi adakah Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan sekarang yang tak bersetuju dengan keputusan kerajaan dalam soal keputusan Lembaga Pengampunan bertindak atas nama kerajaan perlu mencontohi tindakan beretika dan berprinsip oleh Musa,” soalnya.

Menurutnya, dalam Perlembagaan Persekutuan jelas disebut bahawa fungsi dan tanggungjawab Jemaah Menteri daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri ialah mereka bertindak dan bertanggungjawab secara bersama-sama atau kolektif.

“Sebarang keputusan Jemaah Menteri adalah keputusan bersama yang perlu dipertahankan dan dipertanggungjawabkan secara bersama.

“Tidak boleh wujud prinsip mementingkan diri sendiri seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Prinsip yang perlu dipakai ialah prinsip rakit yang terikat kemas yang tetap bersama naik ataupun turun di kala air pasang ataupun surut,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment