KUALA LUMPUR 19 April – MCA tidak akan berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu sekiranya calon yang dipertandingkan bukan daripada Barisan Nasional (BN).
Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat parti itu hari ini.
“Jawatankuasa mengadakan mesyuarat dan membincangkan mengenai PRK DUN Kuala Kubu Bharu Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Selepas pertimbangan teliti, mesyuarat membuat keputusan sebulat suara
bahawa jika calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN), maka MCA tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK tersebut,” kata jawatankuasa itu melalui kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menghormati kerusi DUN Kuala Kubu Bharu yang dimiliki oleh rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dan akan menyokong calon yang dipilih oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.
Katanya, keputusan itu dibuat untuk menterjemah rasa hormat kepada jalinan kerjasama yang dibina dalam Kerajaan Perpaduan selain sebagai isyarat bagi memperkukuh kedudukan kerajaan.
“Walaupun jumlah pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu telah meningkat kira-kira 50 peratus, demi menghormati Kerajaan Madani, UMNO dan komponen BN harus menghormati kerusi itu dipunyai rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jentera UMNO bukan sahaja seluruh Selangor tetapi saya yakin jentera BN terutama MCA akan bersama membantu calon berkenaan” kata Presiden UMNO itu dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia, bulan lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon. Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Nnn
