Kekalkan tahap kewaspadaan

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi mengulangi amaran supaya mengekalkan tahap kewaspadaan tertinggi ketika membuat keputusan melonggarkan sekatan di negara masing-masing.

Pakar Kesihatan Kecemasan WHO Dr. Mike Ryan, berkata wujud risiko Covid-19 menular kembali ketika banyak negara mula melonggarkan sekatan termasuk beberapa negara Eropah.

Menjawab soalan wartawan pada sidang media di Geneva, pada 11 Mei,  beliau merujuk kepada kes termasuk di Jerman, bandar Wuhan di China, dan Korea Selatan dengan kes seorang pengunjung kelab malam dikaitkan dengan 85 kes baharu.

“Selepas sekatan dilonggarkan, penduduk akan bersosial antara satu sama lain, ini memang tidak boleh dinafikan. Mereka akan mengekalkan penjarakan sosial. Tetapi risiko jangkitan akan meningkat.

“Persoalannya, adakah kita sudah berada pada tahap mempunyai sistem kesihatan kukuh yang membolehkan kita menyiasat kluster kes baharu tanpa merujuk bentuk jangkitan sebelum ini. Ini yang perlu dielak.

“Kami mempunyai keyakinan terhadap Jerman, Korea dan beberapa negara untuk menghapuskan kluster baharu yang dikesan,” katanya.

Ryan dalam pada itu mengecam beberapa negara yang tidak bertanggungjawab kerana tidak meningkatkan kapasiti ujian saringan ketika mereka mempunyai peluang mengesan kes Covid-19.

Sementara itu Ketua Teknikal Covid-19 WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata banyak pertimbangan yang perlu dilakukan sebelum mengambil keputusan membuka semula sesi persekolahan.

Katanya, ini termasuk memahami situasi penularan virus di kawasan sekolah, sejuah mana pihak sekolah dapat melaksanakan penjarakan sosial, langkah yang perlu diambil ketika di dalam kelas, waktu makan,  aktiviti permainan dan sebagainya.

Related posts

Leave a Comment