Kedah pula ‘tumbang’

GILIRAN Kedah. Selepas Perak, Johor dan Melaka, akhirnya Kedah pula ‘tumbang’, berubah dari penguasaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).

Ini berikutan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dari PKR ,

mengisytiharkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas, serta menyatakan sokongan kepada PN.

Keputusan ADUN Lunas Azman Nasrudin, dan ADUN Sidam Dr Robert Ling Kui Ee itu menyebabkan kerajaan negeri  pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PH yang diterajui Menteri Besar, Mukhriz Tun Mahathir, hilang majoriti .

Tindakan Azman dan Ling menyebabkan kedudukan kerusi PH dan Bersatu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkurangan kepada 17.

Sementara Pas dan UMNO, yang sebelum ini memiliki 17 kerusi (Pas-15, UMNO-2) dijangka menubuhkan kerajaan negeri baharu dengan sokongan dua wakil rakyat tersebut, dengan majoriti mudah 19 kerusi.

Pada sidang media bersama ketika mengumumkan perkara itu Ling berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau hilang keyakinan kepada kepemimpinan PKR.

Beliau juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Cabang Keadilan Sungai Petani serta merta. 

“Kedudukan saya sebagai ADUN Sidam juga sekarang bukan lagi atas lambang Keadilan (PKR),” katanya.

Sementara itu, Azman yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan, Industri Utama negeri berkata, kegawatan politik negara pada Februari tahun ini yang membawa kepada perubahan kerajaan Pusat, adalah kemuncak masalah dalam PKR.

Susulan keputusan keluar parti itu Azman berkata, beliau dan Ling menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di peringkat kerajaan Pusat.

Related posts

Leave a Comment