Bersatu bentuk 12 portfolio hadapi PRK

SHAH ALAM 16 April –  Bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 7 Mei depan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor membentuk 12 portfolio bagi memperkemaskan jentera pilihan raya.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, portfolio itu termasuk kerahan anak muda dan pengundi bukan Melayu.

Menurut beliau, semua bahagian Bersatu dan ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipertanggungjawabkan untuk menjaga 16 daerah mengundi di DUN berkenaan.

“Malam tadi (Isnin) saya mempengerusikan Mesyuarat Khas BPN Selangor bersama ADUN Bersatu Negeri Selangor. Kehadiran penuh.

“Perbincangan terkait dengan persiapan jentera PRK DUN Kuala Kubu Baharu dan saya membentangkan perincian data serta statistik bagi setiap 16 daerah mengundi dan juga prestasi undi awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, mesyuarat itu juga membincangkan strategi pintar dan inovasi bagi melonjakkan sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional (PN).

“Bahan cetakan termasuk risalah sudah disediakan untuk mengupas isu-isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat. Logistik dan bahan kempen seperti bendera dan banners akan tiba di lapangan dalam minggu ini,” katanya.

Katanya, Bersatu komited untuk meningkatkan jentera dan gerak kerja pilihan raya di lima Daerah Mengundi dan BPN juga bersetuju membentuk Jawatankuasa Khas bagi menarik sokongan pengundi-pengundi India dan Orang Asli.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong baru-baru ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos tahun lalu Kee Hiong (PH) yang menyandang kerusi itu sejak 2013 menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment