ISTANBUL: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, tujuh cedera dan hampir 200 yang lain terkandas dalam kabin di udara apabila tiang yang menyokong kereta kabel tumbang di Antalya, Turkiye.
Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, berkata kematian dan kecederaan berlaku apabila salah satu kabin dalam sistem kereta kabel di Sarisu-Tunektepe terjunam ke dalam kawasan berbatu ketika tiang itu runtuh.
Beliau turut berkongsi di laman sosial X bahawa operasi menyelamat membabitkan lebih 160 responden pertama, seperti kru udara dari Pengawal Pantai dan pasukan pendaki gunung dari pelbagai wilayah di Turkiye.
Sementara itu, Datuk Bandar Antalya, Muhittin Böcek berkata, usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan 184 orang yang terperangkap dalam 25 kabin kereta kabel itu.
Katanya, sistem tali sedang digunakan untuk operasi menyelamat dan helikopter dilengkapi sistem penglihatan malam menuju ke kawasan itu.
Mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital berdekatan untuk rawatan dan manakala 24 kereta kabel lain masih tergantung.
Helikopter dan kenderaan lain dihantar ke tempat kejadian dalam usaha pemindahan dari laluan kereta kabel.
Maklumat di laman sesawang menunjukkan kereta kabel itu mempunyai 36 kabin dengan kapasiti enam orang setiap satu.
Kereta kabel itu membawa pelancong dari pantai Konyaalti ke restoran dan platform melihat pemandangan panoramik bandar Antalya di puncak Tunektepe setinggi 618 meter dengan perjalanan purata sembilan minit.
Nnn
