Hanya Israel mampu lindungi agensi bantuan

NEW YORK: Tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh agensi bantuan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi kakitangannya di Gaza melainkan Israel berusaha mengelak daripada menyasarkan kumpulan berkenaan.

Ini kerana PBB dan agensi bantuan lain berkongsi lokasi semua premis dan pergerakan yang dirancang kepada pihak berkuasa Israel serta sentiasa berhubung setiap hari.

Menurut PBB, sekurang-kurangnya 196 pekerja kemanusiaannya terkorban dalam perang selama enam bulan susulan Israel bertindak balas terhadap Hamas di Gaza berhubung serangan 7 Oktober lalu ke atas Israel oleh Hamas.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, penyelarasan hubungan langsung dengan tentera perlu ditambah baik berbanding melalui beberapa lapisan birokrasi tentera seperti yang berlaku sekarang.

Isnin lalu, serangan udara Israel membunuh tujuh kakitangan badan amal berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen (WCK).

Walaupun beberapa kumpulan bantuan menghentikan sementara operasi di Gaza berikutan mogok, tiada yang merancang untuk berundur atau menghentikan operasi di Gaza, walaupun serangan berulang kali dilancarkan terhadap operasi bantuan di Gaza.

AS berkata, pihaknya tidak boleh menerima alasan bahawa prosedur tentera Israel untuk mengelak daripada mencederakan pekerja bantuan tidak beroperasi dengan sempurna.

Kementerian Pertahanan Israel berkata, ia akan berusaha untuk mengukuhkan penyelarasan, termasuk dengan membuka ruang bersama untuk melakukan penyelarasan antara arahan tentera Israel di selatan dan pertubuhan bantuan antarabangsa.

Sementara itu, pengasas WCK, Chef Jose Andres, berkata Israel menyasarkan pekerja bantuannya secara sistematik dalam serangan Isnin lalu yang menyaksikan tujuh kakitangannya maut dan sekumpulan lagi hampir menerima nasib sama.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Israel, Raquela Karamson, menyatakan perkara itu tidak disengajakan malahan ketua jabatan Timur Tengah untuk Doktor Dunia atau Médecins du Monde, Louise Bichet, turut menyatakan pejabat pertubuhannya dit Gaza dimusnahkan sebahagiannya walaupun sudah diberi koordinat GPS kepada tentera Israel.

Begitu juga Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), yang menyatakan bahawa terdapat lebih 300 serangan ke atas kemudahannya, menyebabkan 177 kakitangan terbunuh.

Related posts

Leave a Comment