GAZA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi isyarat paling kuat apabila memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa dasar AS mengenai Israel bergantung kepada perlindungan orang awam di Gaza.
Amaran daripada Rumah Putih itu dibuat selepas serangan Israel membunuh tujuh pekerja bantuan ketika memunggah makanan di Gaza, mencetuskan kemarahan antarabangsa dan gesaan agar Israel mengekang serangannya.
Dalam panggilan telefon pertamanya dengan Netanyahu sejak kematian pekerja badan amal World Central Kitchen (WCK) yang berpangkalan di AS, Biden menyifatkan serangan itu “tidak boleh diterima dan menggesa “gencatan senjata segera”.
Menurut kenyataan Rumah Putih, Biden “memberikan isyarat jelas perlunya Israel mengumumkan dan melaksanakan satu siri langkah khusus, konkrit dan boleh diukur untuk menangani bahaya ke atas orang awam, penderitaan kemanusiaan dan keselamatan pekerja bantuan.
Di Britain, yang mana tiga warganya terbunuh dalam serangan tersebut, surat yang ditandatangni lebih 600 peguam, sekali gus memberi tekanan baharu kepada kerajaan untuk menggantung lesen eksport senjata ke Israel.
Badan amal perubatan Doctors Without Borders (MSF) menuduh Israel, secara sistematik memusnahkan sistem penjagaan kesihatan Gaza.
Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby berkata Washington menjangkakan tindakan daripada Israel dalam “beberapa jam dan hari akan datang” tetapi menambah bahawa sokongan AS kepada pertahanan Israel kekal “tidak berubah”.
“Apa yang kami mahu lihat dan harapkan dalam beberapa jam dan hari akan datang ialah peningkatan dramatik dalam bantuan kemanusiaan yang masuk, lintasan tambahan dibuka, dan pengurangan keganasan terhadap orang awam dan pastinya pekerja bantuan,” katanya .
