PORT DICKSON: Kupang yang diperoleh dari perairan Port Dickson khususnya di Kampung Telok dan Sungai Sekawang di Pasir Panjang di sini dicemari biotoksin dan tidak selamat dimakan.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang mengesahkan demikian berkata, keputusan itu berdasarkan analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, analisis pada kupang di perairan Port Dickson juga mendapati terdapat alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia
“Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan,” katanya ketika sidang media di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson, hari ini.
Justeru beliau menyarankan orang ramai supaya tidak mengambil kerangan seperti lala, kerang dan lokan di Port Dickson selain pihaknya tidak membenarkan kerangan itu dijual dan dipasarkan dalam pasaran awam.
“Bagaimana pun makanan laut lain seperti ikan dan sotong di perairan berkenaan adalah selamat dimakan,” katanya sambil menjelaskan, cuaca panas mungkin antara faktor yang menyebabkan alga toksin merebak dan membiak dengan cepat.
Justeru katanya, dalam tempoh 20 hari ini orang ramai dinasihatkan untuk tidak memakan kerangan dan hebahan umum akan dibuat selepas ia selamat untuk di makan.
DOF juga katanya, sudah mengeluarkan arahan supaya penternak tidak mengeluarkan hasil kerang-kerangan masing-masing di samping akan terus membuat pemantauan di kawasan perairan di daerah ini termasuklah di pasaran awam.
“Setakat ini terdapat 40 penternak kupang yang ada di Pasir Panjang namun hanya 19 berdaftar dengan jabatan ini dan kami percaya mereka akur dengan arahan ini,” katanya.
Sementara itu, terdapat sembilan kes keracunan direkodkan dan terkini hanya seorang lelaki berusia 70-an masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala, empat lagi bakal mendaftar keluar hari ini, manakala empat sudah keluar pada Rabu.
