Indonesia catat 22,750 kes

INDONESIA merekodkan 479 lagi kes baharu Covid-19 dengan 19 kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 22,750 dan 1,391 kematian.

Jurucakap Pemerintah Indonesia mengenai Covid-19 Achmad Yurianto berkata,

seramai 12,342 pesakit masih dalam pemantauan.

Sebanyak 223 kes dicatatkan di Jawa Timur manakala 75 kes di Jakarta dan selebihnya di wilayah lain.

Tiada kematian di Jakarta namun wilayah itu masih mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi setakat ini iaitu 501 kes diikuti Jawa Timur (292 kes) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu Gabenor Jakarta Anies Baswedan, dalam sidang media sama, berkata beberapa peraturan berkaitan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di Kota Jakarta, berkemungkinan dilonggarkan sekiranya kes positif menunjukkan trend menurun.

“Jika tidak berkurangan, (PSBB) akan dilanjutkan lagi, yang penting adalah warga Jakarta utamakan kepentingan bersama dan bukannya diri sendiri,” katanya.

Sementara itu THAILAND melaporkan dua kes baharu dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah 3,042 kes dan 57 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian terbaharu itu melibatkan wanita berusia 68 tahun dari wilayah selatan Chumphon, yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang disahkan dijangkiti wabak itu serta mempunyai sejarah penyakit diabetes, masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi.

Dua kes baharu melibatkan seorang wanita Cina, isteri warga Itali, dan seorang tukang urut wanita Thailand berusia 55 tahun yang menjalani kuarantin di sebuah kemudahan negeri setelah pulang dari Rusia.

Sehinga kini, lebih daripada 96 peratus pesakit atau 2,928 telah sembuh dan discaj daripada hospital. Sebanyak 57 pesakit masih berada di wad.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan melaporkan 284 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes 14,319 sementara lima kematian baharu menjadikan 873 kes.

Sebanyak 10,123 kes masih aktif sementara 74 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah sembuh sepenuhnya 3,323 kes.

SINGAPURA pula memaklumkan tambahan 344 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu sebanyak 31,960 dengan 14,876 pesakit pulih setakat semalam.

Data awal setakat tengah hari ini menunjukkan hanya empat kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan.

Jumlah kes yang rendah hari ini disebabkan tidak banyak ujian yang dilakukan.

Sementara itu, BRUNEI DARUSSALAM terus kekal dengan  141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan. Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memberitahu setakat ini tiga masih dirawat, dua dalam keadaan kritikal manakala 137 sembuh.

Related posts

Leave a Comment