KUALA TERENGGANU 3 April – Tujuh ahli Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, diberi peluang menetapkan pendirian masing-masing semula, walaupun keahlian mereka tergugur secara automatik, berkuat kuasa Ahad lalu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, berkata enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi peluang menetapkan pendirian semula, sebelum tindakan pengguguran sebagai keahlian dilakukan.
“Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada tujuh Ahli Parlimen dan seorang ADUN yang mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Mereka diberi tempoh menyatakan pendirian, jika tetap menyokong Anwar, keahlian akan tergugur secara automatik seperti pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.
Enam Ahli Parlimen daripada Bersatu yang mengisytiharkan menyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Pada 7 Mac lalu, ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi dukungan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, berkata berdasarkan pindaan perlembagaan diluluskan itu, keahlian enam Ahli Parlimen dan ADUN itu secara automatik tergugur.
Bagaimanapun, katanya, Presiden Parti, Muhyiddin Yassin dengan persetujuan MPT memutuskan untuk memberi peluang kepada mereka menetapkan pendirian secara rasmi.
Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, berkata tindakan susulan akan dilakukan selepas menerima maklum balas daripada enam ahli parlimen dan ADUN berkenaan.
Nnn
