Pengasas KK Mart menghadap Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR 3 April – Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd,  Dr Chai Kee Kan, mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Kee Kan selama 15 minit di Istana Negara, hari ini.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Dr Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking itu.

Pada pertemuan itu, baginda bertitah semua pihak termasuk KK Mart perlu lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelak perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.

Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment