Tunjuk kuasa sebenar Melayu, Islam jika bersatu

JASIN 20 Mac –  “Biar mereka (pengusaha KK Mart) tahu kuasa sebenar orang Melayu dan Islam jika bersatu hati dan sepakat dalam mempertahankan agama kita,”

Itu penegasan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang tidak akan berganjak dengan pendirian untuk mengajak orang Melayu dan Islam memboikot mana-mana syarikat perniagaan yang menghina Allah SWT.

Katanya, tidak ada sebarang kompromi dengan pihak terbabit yang dilihat sengaja mencetuskan api kemarahan umat Islam menerusi kelakuan jijik menghina agama dan bangsa Melayu.

Beliau mengakui menerima banyak panggilan telefon untuk berbincang mengenai tindakan Pemuda UMNO yang melancarkan kempen boikot pasar raya KK Mart.

“Saya membawa suara orang Melayu dan Islam di negara ini. saya tidak akan layan, malah akan tetap dengan kempen yang lebih keras untuk memboikot pasar raya berkenaan.

Saya nak minta semua orang Melayu dan Islam mulai hari ini kita ‘haramkan’ keluarga kita untuk masuk ke KK Mart,” kata Ketua UMNO bahagian Jasin itu pada majlis perjumpaan bersama kepemimpinan UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, di Kampung Terentang di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO bahagian, Azman Abdullah serta Naib Ketua yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Khaidirah Abu Zahar.

Dr Muhamad Akmal yang juga ADUN Merlimau, berkata beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana pihak, termasuk pemimpin beberapa parti politik dalam kerajaan Perpaduan yang dilihat tidak senang dengan kempen boikot itu.

Beliau berkata, tindakan agresif itu adalah untuk mempertahankan Islam kerana jika tidak, Melayu dan Islam akan terus diperlekeh dan dihina.

“Mereka jangan fikir apabila bersama dalam kerajaan Perpaduan, UMNO boleh dicucuk hidung. Ini bukan soal Dr Akmal, ini bukan soal Ketua Pemuda UMNO, ini soal maruah orang Melayu dan agama Islam yang wajib kita bela dan pertahankan,” katanya sambil mengharapkan doa dan sokongan orang Melayu dan Islam.

Menurut Exco Kerajaan Negeri Melaka itu, permohonan maaf bukan penyelesaian kepada isu ini kerana mereka akan anggap orang Melayu akan lemah dan cepat lupa apabila minta maaf.

“Hari ini kita akan tunjukkan kuasa orang Melayu sehingga menjejaskan perniagaan kamu, baru kamu tahu siapa sebenarnya orang Melayu,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Related posts

Leave a Comment