KUALA LUMPUR 20 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima penghantaran pertama helikopter Black Hawk pada bulan depan, selepas berlaku kelewatan sejak November tahun lalu.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, penghantaran itu membabitkan satu daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara TDM.
Katanya, helikopter berkenaan sepatutnya diterima oleh TDM pada November tahun lalu, bagaimanapun susulan beberapa kekangan membabitkan kontraktor dan pengeluar helikopter berkenaan menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.
“Bagaimanapun kontraktor telah memberikan janji mereka untuk menghantar helikopter pertama bulan depan dan saya harap ia dipenuhi,” katanya mengulas mengenai perkembangan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu.
Muhammad Hafizuddeain menegaskan TDM amat memerlukan perkhidmatan helikopter berkenaan bagi tujuan latihan dan operasi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa Tentera Darat di Masjid Thoriq bin Ziyad, Kem Perdana Sungai Besi di sini malam tadi yang turut dihadiri Timbalannya Leftenan Jeneral Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri.
Sebanyak 1,000 warga TDM serta ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) termasuk lapan bekas Panglima TDM hadir ke majlis berkenaan.
Pada Mei tahun lalu, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan Aerotree Defence & Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.
Sementara itu, di majlis berkenaan TDM turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada 16 asnaf dan ahli keluarga anggota pasukan yang menghadapi masalah kesihatan.
Turut diserahkan sumbangan barangan makanan dan keperluan kepada masjid di dalam kem TDM seluruh negara.
