KUALA LUMPUR 12 Mac – Prasarana Berhad (Prasarana) membuat tambahan 30 minit operasi waktu puncak pagi dan petang bagi perkhidmatan rel (LRT, MRT dan KL Monorel) serta bas kendaliannya sepanjang Ramadan ini.
Menurut Prasarana, perubahan waktu puncak ini bagi memudahkan perjalanan pengguna sepanjang Ramadan terutama bagi mereka yang menuju ke destinasi masing-masing untuk berbuka puasa.
Katanya, operasi waktu puncak pagi akan bermula pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi berbanding 7 pagi hingga 9.30 pagi sekarang manakala sebelah petang mulai pukul 4 petang hingga 8 malam berbanding 5 petang hingga 7.30 malam.
“Kita berharap inisiatif ini akan menggalakkan orang awam menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, waktu puncak operasi bas bagi perkhidmatan Rapid Bus di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk bas perantara MRT, adalah dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi, manakala waktu puncak petang adalah dari 4 petang hingga 8 malam.
Operasi waktu puncak perkhidmatan Rapid Bus di Kuantan adalah seperti biasa.
Dalam pada itu, anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) akan membuka mini bazar Ramadan di tiga stesen LRT terpilih iaitu Stesen LRT Pasar Seni, Stesen LRT Damai, dan Stesen LRT Ampang Park.
Prasarana berkata, jualan makanan dan minuman berkonsepkan grab and go di bazar rakyat sedia ada juga dijual di Stesen LRT Sri Rampai, Stesen LRT Taman Melati dan Stesen LRT Gombak bermula 3.30 petang hingga 7.30 malam.
