Isa tidak tolak kemungkinan aktif politik

PUTRAJAYA 6 Mac – Bekas Naib Presiden UMNO, Isa Samad dilepas dan dibebaskan daripada sembilan tuduhan rasuah RM3 juta hari ini, tidak menolak kemungkinan kembali aktif dalam arena politik.

Beliau yang sudah bersara daripada politik, berkata, politik adalah subjektif, boleh masuk dan tidak, dan ia bergantung kepada keadaan.

Selepas dilepas dan dibebaskan daripada sembilan tuduhan rasuah RM3 juta, bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tidak menolak kemungkinan kembali aktif dalam arena politik.

“Kalau keadaan baik dan memerlukan (saya kembali terbabit politik), saya boleh sertai dan kalau sebagai penyokong parti saja, saya tidak berubah.

“Kes pun belum habis lagi, mungkin ada rayuan lain tetapi yang pasti saya adalah penyokong UMNO yang taat setia,” kata bekas Pengerusi FELDA itu ketika ditemui di lobi Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan di sini melepas dan membebaskan Mohd Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak.

Panel tiga hakim dipengerusikan Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan S M Komathy Suppiah, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan beliau.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah hak institusi perundangan dan beliau menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya rasa lega, ini memudahkan saya dan keluarga menjalani kehidupan seperti biasa. Terima kasih kepada peguam kerana menjalankan tugas yang baik dan bersabar selama enam tahun.

“Kami bersyukur kerana mendapat keputusan yang baik. Proses berjalan dan kita terima apa saja keputusan dibuat mahkamah,” katanya.

Sementara itu, isteri Mohd Isa, Bibi Sharliza Mohd Khalid menyifatkan keputusan mahkamah sebagai kemenangan kepada keluarga selepas melalui tempoh sukar sejak enam tahun lalu.

“Ini satu kemenangan selepas tunggu enam tahun. Suami tidak kemana-mana dan tiada sebarang pembabitan dalam politik, sebaliknya hanya berdoa setiap hari.

“Suami sentiasa yakin bahawa beliau tidak bersalah. Saya dan anak-anak sentiasa memberi semangat, kami kenal dan tahu beliau seorang yang sangat baik hati,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment