Bukan babi tetapi ladang itik cemar sungai

BUKIT MERTAJAM 19 Feb. – Sisa buangan yang dikesan mencemarkan dua sungai di Kedah berpunca daripada ladang itik di Sungai Lembu, di sini, dan bukannya ternakan babi seperti dilaporkan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mendedahkan penemuan terbaharu itu hasil siasatan dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai ( MBSP), hari ini.

Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol, berkata beliau bersama semua agensi berkaitan pada mulanya menjalankan siasatan ke atas ladang babi yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan mendapati pencemaran yang berlaku di dua sungai di Kedah itu sebenarnya bukan berpunca daripada ladang babi terbabit, sebaliknya disebabkan ternakan itik yang terletak bersebelahan.

Kita mendapati memang ada pelepasan terus daripada ladang itik terbabit yang terus (masuk) ke Sungai Air Merah dan juga menerusi Sungai Kulim,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan JAS Kedah mengesan berlaku kegiatan melepaskan sisa ternakan babi disyaki daripada ladang perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu pada Jumaat lalu, sebelum pegawai penyiasat JAS Cawangan Kulim digerakkan bagi mengesan punca kejadian.

Hasil pemeriksaan di lapangan yang dilakukan pegawai penyiasat membabitkan kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah masuk ke Sungai Kulim.

Susulan laporan itu juga, Fahmi memaklumkan JPV Pulau Pinang mengarahkan penternak babi di Sungai Lembu menutup operasi serta-merta selepas semakan mendapati ladang itu gagal memperoleh lesen secara sah untuk beroperasi.

JPV mengeluarkan arahan mengosongkan ladang, selain meminta jadual pergerakan babi dari ladang terbabit ke rumah sembelih.

Dalam pada itu Fahmi berkata, walaupun keadaan itu mencemarkan alam sekitar, namun orang ramai tidak perlu bimbang memandangkan ia tidak memberi kesan kepada sumber air yang dirawat di kedua-dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah.

“Isu ini tidak memberi kesan secara langsung kepada air yang dirawat oleh Perbadanan Bekalan Air (PBA) yang (loji air terawat) terletak jauh 14 kilometer (km) dari lokasi ini.

“Pelepasan sisa ini didapati masuk ke Sungai Air Merah dan hanya melintasi garis sempadan negeri Kedah dan Pulau Pinang serta masuk semula ke Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPV negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, siasatan mendapati ladang itik itu beroperasi sejak 15 tahun lalu dan tidak memperoleh lesen menternak.

“Kita (JPV) akan mengambil tindakan seterusnya (bagi mengatasi isu ini). Ada kemungkinan pemilik perlu pindahkan 100,000 ekor itik mereka,” katanya.

Katanya, pemilik perlu memperbetulkan sistem kumbahan dan tidak meneruskan aktiviti pelepasan buangan secara terus ke dalam parit ataupun sungai.

Related posts

Leave a Comment