KUALA LUMPUR 17 Feb. – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menyasarkan 200,000 purata pengguna harian Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling menjelang penghujung 2024 susulan pembukaan semula laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya pada 6 pagi ini.
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah berkenaan bertambah berbanding 155,000 penumpang pada tahun lepas.
Serentak dengan pembukaan semula laluan itu juga, kekerapan tren pada waktu puncak kembali normal dengan masa menunggu tiga minit bagi daerah pusat perniagaan (CBD) dan enam minit di luar daerah pusat perniagaan (non-CBD) dengan pengoperasian 37 tren.
Rapid Rail memaklumkan pembukaan semula laluan itu dibuat setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan penilaian dan pemeriksaan yang dijalankan.
Proses membaik pulih selesai sepenuhnya pada 30 Disember lepas dan pemeriksaan serta pengesahan telah dilakukan oleh pihak jurutera perunding selain beberapa siri ujian dan pemantauan menyeluruh telah dilaksanakan bermula 1 Januari hingga semalam 16 Februari.
Laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya telah ditutup sejak 27 Januari tahun lepas atas faktor keselamatan akibat kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya.
Menurut Rapid Rail kerja-kerja membaik pulih kerosakan dimulakan pada 17 Mac 2023 dengan melibatkan dua fasa merangkumi kerja-kerja menyokong jejambat di P163, P164 dan P165 serta mengembalikan struktur jejambat ke kedudukan asal.
Rapid Rail berharap pergerakan penumpang dipermudah selain jumlah penumpang dapat dipertingkatkan dan aktiviti ekonomi di sekitar laluan itu akan kembali rancak.
