Kabinet perlu mesyuarat segera

JOHOR BAHRU 10 Feb. – Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tidak sah adalah satu perkara besar yang perlu ditangani Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Kabinet perlu mengadakan mesyuarat dengan segera kerana keputusan yang dianggap besar dan serius itu melibatkan tiga hal.

“Pertamanya,  sejauh mana bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) sah membuat undang-undang Syariah.

Kedua, soal pembahagian bidang kuas kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan dalam soal Islam di bawah sistem federalism yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Ketiga kedudukan raja-raja Melayu sebagai pemerintah negeri yang dianggap Ketua Agama Islam di negeri berkenaan yang telah memberi perkenan diraja sesuatu Enakmen Undang-Undang Syariah yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri tiba-tiba dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Apakah perasaan raja pemerintah negeri berkenaan apabila kuasanya dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru Jemaah Menteri perlu segera bermesyuarat dan tidak boleh dibenarkan undang-undang perlembagaan yang berkaitan dengan kedudukan Islam dan undang-undang syariah diserahkan kepada mahkamah semata-mata.

Dalam pada itu, Hassan berkata, tugas mahkamah adalah untuk mentafsir undang-undang manakala tugas menggubal, meminda atau memansuhkan sesuatu undang-undang adalah dalam bidang kuasa Parlimen.

Katanya, ini adalah prinsip pemisahan kuasa di Malaysia.

“Jika ada yang tidak kena sesuatu keputusan mahkamah dengan kehendak masyarakat Islam yang mahu melihat syiar Islam ditegakkan di negara ini maka adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk meneliti keperluan mengadakan pindaan Perlembagaan supaya tidak berlaku lagi petisyen di mahkamah untuk membatalkan Enakmen Undang-undang Syariah di negeri lain pula,” katanya.

Ini kerana soal pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan keperluan kelulusan dengan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Adalah satu keperluan Kerajaan Pusat mengadakan perbincangan dan babit urus dengan pihak pembangkang di Parlimen dan kerajaan negeri serta akhirnya dibawa ke Majlis Raja-Raja sebelum sesuatu Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan itu dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Related posts

Leave a Comment