KUALA LUMPUR 7 Feb. – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 2.4 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya sehari sempena cuti Tahun Baharu Cina bermula esok.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1.5 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), 199,000 dijangka menggunakan Lebuhraya KL-Karak; Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 (106,000) dan Pantai Timur Fasa 2 (61,000).
Bagi menghadapi peningkatan trafik, LLM dalam kenyataannya mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya melakukan persediaan rapi supaya perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.
LLM berkata, langkah yang diambil termasuk syarikat konsesi lebuh raya tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan sejak Isnin lalu (5 Februari) hingga 14 Februari 2024.
Selain itu, syarikat perlu mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di lokasi yang dikenal pasti di Lebuhraya PLUS dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuhraya KL-Karak.
Syarikat juga perlu sentiasa memastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan baik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh tersebut terutamanya di kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.
“Mereka juga perlu memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol serta menambah lorong tol sementara di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik yang tinggi,” katanya.
LLM berkata, syarikat konsesi juga perlu menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.
Syarikat juga perlu meningkatkan bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan memastikan bekalan air serta bekalan minyak di stesen minyak mencukupi dengan mendapatkan kerjasama daripada pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak demi keselesaan pengguna.
LLM turut menasihat pengguna supaya merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan TTA oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.
Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam mulai 8 Februari hingga 13 Februari 2024.
Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1800887752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan.
Untuk status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, Aplikasi X @LLMtrafik atau di TikTok @llmtrafik.
