THE HAGUE: Israel diperintahkan mengambil tindakan mencegah pembunuhan beramai-ramai (genosid) dalam konfliknya di Semenanjung Gaza, selain menggesa gencatan senjata segera.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam keputusan bagi kes difailkan Afrika Selatan, berkata Israel juga perlu mengambil langkah untuk memperbaiki situasi kemanusiaan bagi orang awam Palestin di kawasan berkenaan.
ICJ mengiktiraf hak Palestin di Gaza perlu dilindungi daripada tindakan genosid.
Menerusi keputusan itu, 15 daripada 17 panel hakim ICJ memilih langkah kecemasan merangkumi sebahagian besar permintaan Afrika Selatan, termasuk gesaan menghentikan operasi ketenteraan Israel di Gaza.
ICJ juga menyuarakan ‘kebimbangan’ berhubung nasib tawanan di Gaza, selain menyeru Hamas dan kumpulan bersenjata lain segera membebaskan mereka tanpa syarat.
Israel juga perlu mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah semua tindakan termaktub dalam skop Artikel II Konvensyen Genosid.
ICJ turut mengarahkan Israel melaporkan setiap langkah diambil bagi tujuan itu dalam tempoh sebulan.
Biarpun keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak boleh dirayu, namun mahkamah dunia itu tidak memiliki kaedah menentukan tindakan penguatkuasaan.
Berdasarkan pihak berkuasa Gaza, operasi ketenteraan Israel memusnahkan sebahagian besar Gaza dan membunuh lebih 25,000 warga Palestin dalam tempoh hampir empat bulan.
Keputusan yang diterima baik Palestin itu memalukan Israel dan sekutu terdekatnya, termasuk Amerika Syarikat.
Israel sebelum ini, memohon mahkamah mengetepikan sepenuhnya kes itu, selain menyatakan pihaknya menghormati undang-undang antarabangsa dan berhak untuk mempertahankan diri.
Afrika Selatan baru-baru ini, berhujah serangan udara dan darat Israel bertujuan membawa ‘kehancuran ke atas penduduk’ Gaza.
Konvensyen Genosida 1948 diwartakan selepas pembunuhan orang Yahudi secara beramai-ramai dalam Holokaus Nazi itu mentakrifkan genosid sebagai ‘tindakan dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, seluruh atau sebahagian, kumpulan kebangsaan, etnik, ras atau agama’.
