GAZA: Tentera Israel membunuh 11,000 kanak-kanak dan 7,500 wanita di Semenanjung Gaza dalam tempoh 108 hari sejak serangan bermula pada 7 Oktober, demikian menurut pejabat media kerajaan di Gaza, semalam.
Menurut laporan media, angka terbaharu membabitkan 7,000 orang iaitu 70 peratus daripadanya terdiri wanita dan kanak-kanak yang masih terperangkap di bawah serpihan atau hilang akibat serangan tentera Zionis.
Jumlah mayat yang tiba di hospital pula melebihi 25,900, manakala 63,000 orang cedera sejak 7 Oktober manakala sejumlah 337 pekerja penjagaan kesihatan dan 45 pegawai pertahanan awam terbunuh setakat ini.
Selain itu, kira-kira 70,000 rumah musnah, manakala 290,000 lagi tidak dapat didiami akibat serangan Israel
Sejak 7 Oktober juga, seramai 119 wartawan kehilangan nyawa dalam serangan di Gaza, manakala tentera Israel turut menahan 99 pekerja penjagaan kesihatan, 10 wartawan serta dua juta orang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.
Sementara itu akibat pemindahan paksa Israel, di tempat perlindungan yang padat, di mana penduduk Palestin mencari perlindungan, kenyataan itu berkata sejumlah 400,000 kes penyakit berjangkit dan lebih 8,000 kes Hepatitis A dikesan.
Kira-kira 60,000 wanita hamil di Gaza pula berdepan risiko kritikal berikutan ketidakupayaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan, manakala 350,000 individu yang menghidap penyakit kronik berdepan risiko kritikal kerana kekurangan ubat-ubatan.
Tentera Israel juga memusnahkan 140 kemudahan kerajaan serta 99 sekolah dan universiti, manakala 295 sekolah dan universiti, sebahagiannya dirosakkan.
Kenyataan itu berkata, tentera Israel turut merosakkan 253 masjid dan juga menyebabkan kemusnahan tiga gereja.
Rejim Zionis juga menyasarkan sejumlah 150 institusi penjagaan kesihatan di Gaza, menyebabkan 53 pusat kesihatan dan 30 hospital tidak beroperasi malah menjadikan 122 ambulans tidak dapat digunakan.
Selain itu, tentera Israel juga menyasarkan warisan budaya Palestin dengan memusnahkan 200 aset sejarah dan budaya di Gaza.
Nnn
