IPOH 21 Jan. – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak membuat pengesahan awal, bahan bakar yang digunakan suspek kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham adalah daripada petrol.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata pengesahan itu telah dibuat pihak bomba pada 18 Januari lepas, dan pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada JBPM Perak.
“Surat laporan rasmi akan dihantar kepada pihak polis dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata 11 individu telah dirakam keterangan setakat ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes kebakaran ini boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan polis,” katanya.
Pada 10 Januari lepas, kediaman Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar dilontar molotov cocktail menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan.
Susulan itu, pada 12 Januari lepas, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an di Shah Alam, Selangor, kerana disyaki melakukan khianat api di kediaman Ngeh dan merampas dua telefon bimbit dalam tangkapan tersebut.
