Rang undang-undang elak kerajaan ‘diganggu’

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan satu undang-undang khusus digubal bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU), mentadbir dan bertahan hingga penggalnya berakhir.

Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui undang-undang itu kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

“Saya menyarankan satu RUU (Rang Undang-Undang) dibentangkan bahawa jika sesebuah kerajaan diwujudkan atas sesebuah parti itu dominan atau gabungan antara parti politik itu dominan, dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ia harus kekal hingga ke akhir penggal.

“Jika tidak, kita akan mengalami perkara yang terdahulu (berlaku perubahan kerajaan sebelum penggal berakhir), dan ini tidak baik untuk negara dan rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, semua ahli politik juga perlu melakukan perubahan langkah serta minda dengan mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap keputusan dan tindakan mereka.

“Politik sangat pragmatik dan dinamik dalam hal ini. Kita harus praktikal untuk menjaga sebuah negara.

Kita boleh bermain politik atau berbeza pendapat tetapi untuk kepentingan negara, kita tidak harus menjadikan rakyat sebagai bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik dalam kalangan ahli politik. Cukuplah belajar daripada pengalaman lalu,” katanya.

Beliau menekankan, sebarang perubahan kerajaan yang berlaku sebelum penggalnya berakhir, akan membantutkan pertumbuhan ekonomi, di samping memberi sentimen tidak baik kepada pelabur.

“Kita tidak mahu berlaku seperti sebelum ini, tiga Perdana Menteri dalam sepenggal. Kesannya adalah terhadap rakyat apabila kita melihat pertumbuhan ekonomi tidak dapat dipertingkatkan dan kebetulan kita juga menghadapi pandemik Covid-19 ketika itu.

“Pengalaman itu cukup pahit untuk negara. Kita melihat pelabur memerlukan kestabilan politik, dan kestabilan ini sudahpun wujud bawah kerajaan Madani dan ia harus dipertahankan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment