KUALA LUMPUR 6 Jan. – Seorang kerani, Nagakanni Subramaniam lega apabila Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bersetuju membeli semula PERODUA Bezza miliknya yang rosak selepas lapan jam dibeli pada 17 Oktober lalu.
Menerusi satu catatan pada akaun Facebook miliknya semalam, Nagakanni, 31, memberitahu, PERODUA bersedia membeli semula dengan harga penuh.
Katanya, dengan perkembangan itu bermakna ia tidak lagi perlu membayar ansuran bulanan PERODUA Bezza itu manakala bayaran terdahulu akan dipulangkan semula.
“PERODUA akhirnya setuju untuk beli semula kereta saya dengan harga penuh. Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama dan semua bayaran sebelum ini pun akan dapat semula pemulangan wang.
“PERODUA juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau saya menolak tawaran ini dan beli kereta lain.
“Saya perlu buat keputusan dalam tujuh hari.Terima kasih PERODUA atas keputusan ini,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Sebelum ini, Nagakanni dalam perkongsiannya di media sosial mengeluh kerana terpaksa membayar pinjaman bulanan kenderaan terbabit sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu rosak dan tersadai di pusat servis.
Susulan itu, beliau memohon mendapatkan gantian kereta baharu sebelum diminta menunggu keputusan dari ibu pejabat PERODUA yang memerlukan tempoh dua minggu hingga sebulan.
Sebaik isu terbabit tular, PERODUA dalam satu kenyataan memaklumkan berlaku kerosakan enjin pada kenderaan itu yang berpunca daripada bendasing seperti gula di bahagian enjin.
PERODUA turut memberi jaminan untuk mengutamakan kes itu dan menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Dalam hantaran sama, Nagakanni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada netizen yang banyak membantu terutama memberikan sokongan dalam usahanya menuntut hak sebagai seorang pengguna.
“Yang paling penting, terima kasih kepada semua yang membantu saya menuntut hak ini. Saya terhutang budi dengan anda.
“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut. Tapi saya belajar sesuatu.
“Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” katanya.
Nnn
