Pilihan raya PBT mungkin selepas 10 tahun

SERDANG 28 Dis. –  Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkemungkinan boleh diadakan selepas tempoh 10 tahun lagi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming.

Beliau berkata, tempoh itu selepas KPKT berjaya menyiapkan lebih 50,000 projek kemudahan awam.

Katanya, setiap perkara ada masa yang tepat untuk melaksanakannya dan Pilihan Raya PBT yang sudah ditangguhkan sejak 1963 bukan keutamaan ketika ini susulan negara baru pulih daripada pergolakan politik.

Menurut beliau waktu kini adalah untuk redakan suhu politik dan fokus kepada kerja yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

“Bagi saya 10 tahun, lepas saya siapkan 50,000 projek kemudahan awam, mungkin itulah masanya (laksanakan Pilihan Raya PBT),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Bazar Rakyat, Seri Kembangan hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai, dilaporkan menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Kok Wai berkata, pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan menegaskan, jawapannya tetap konsisten jika ditanya mengenai pilihan raya berkenaan bahawa ia bukan satu keutamaan buat masa ini.

“Jawapan saya sentiasa konsisten, keutamaan KPKT pada waktu ini adalah untuk memberi fokus kepada tujuh bidang yang saya umumkan pada hari pertama diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai menteri di kementerian ini,” katanya,

Ditanya sama ada beliau menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa untuk perbincangan berkaitan isu berkenaan, Kor Ming berkata beliau sering menemui rakannya itu.

“Saya sentiasa berinteraksi dengan YB Zaliha dan kita sentiasa bekerja sebagai satu pasukan. Maka jawapan saya dan dia adalah konsisten.

“Keutamaan kita adalah pastikan tujuh bidang fokus KPKT dilaksanakan. Baru setahun (menjadi kerajaan) ini adalah masa untuk kita tunjukkan permulaan kejayaan,” katanya.

Tujuh bidang yang akan diberikan keutamaan adalah membabitkan aspek pembangunan dan langkah memperkasa peranan kerajaan tempatan, membangun potensi PBT bagi menjana sumber pendapatan tambahan negara dan perancangan perumahan lebih komprehensif dan berdaya saing.

Kementerian juga memfokuskan pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum, pengurusan sisa pepejal bersepadu lebih efektif dan efisien bagi menghasilkan pelaksanaan ke arah ekonomi kitaran.

Begitu juga fokus kepada memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu dan memperkukuh kesiapsagaan kebombaan dan penyelamat yang sejahtera.

Nnn

Related posts

Leave a Comment