PASIR MAS 28 Dis. – Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM50 juta untuk mangsa banjir di Kelantan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, peruntukan itu akan disalurkan terus kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan sekitar.
“Menerusi peruntukan berkenaan, setiap keluarga akan menerima RM1,000 dan tambahan bantuan lain bergantung pada kerugian yang dialami mangsa banjir,” katanya selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Anwar turut berterima kasih kepada semua pihak meliputi jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang membantu mangsa banjir.
“Kerjasama kedua-dua pihak ini menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat. Apa yang penting, kita mahu meredakan tekanan yang dialami rakyat akibat banjir,” katanya.
