TMM 2024 sasar 8 juta pengunjung

KUALA LUMPUR 28 Dis. –  Kerajaan Melaka menyasarkan kehadiran lebih lapan juta orang pelancong ke negeri itu sepanjang Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, kata Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Katanya, berdasarkan rekod yang diperoleh baru-baru ini sejumlah 55,000 kenderaan masuk ke Melaka setiap hari, iaitu hasil perangkaan atau kajian yang dibuat setiap minggu terutama musim cuti sekolah.

“Kalau nak dijangkakan, kita menyasarkan lebih lapan juta orang akan datang ke negeri ini sepanjang TMM 2024. Jika lebih daripada itu, ia menunjukkan Melaka adalah lokasi pilihan utama pelancong dan pengunjung,” katanya kepada media selepas bersiaran pada program Malaysia Hari Ini (MHI) pagi ini.

Ab Rauf berkata, sempena TMM 2024 itu, tujuh kenderaan ditawarkan sebagai hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM100,000 setiap satu, kepada pengunjung bertuah bersempena TMM 2024.

Cabutan bertuah akan dilakukan setiap tiga bulan sekali sepanjang TMM 2024, di mana penyertaan adalah mengikut beberapa syarat ditetapkan.

“Datanglah ke Melaka, pilih hotel yang bekerjasama untuk memastikan pengunjung menerima baucar, cabutan bertuah sebuah kereta setiap tiga bulan. Belanja RM500 dapat sebuah kereta sempena TMM2024,” katanya.

Sebanyak 80 hotel dan inap desa yang menandatangani perjanjian untuk bersama-sama mempromosikan TMM 2024.

Ab Rauf berkata, sambutan TMM 2024 akan bermula esok dengan penganjuran Karnival Islamik Antarabangsa yang akan diadakan di pekarangan Stadium Hang Jebat.

Katanya, acara alunan mengaji al-Quran selama 24 jam akan dimulakan pagi esok sehingga 30 Disember ini pada karnival itu.

“Semua sekolah tahfiz di Melaka akan terbabit secara langsung untuk meraikan Karnival Islamik Antarabangsa ini. Bukan itu saja, kita akan ada program ‘Melaka Bandaraya Berselawat’ yang akan diadakan secara besar-besaran dihadiri tetamu jemputan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, sambutan ambang tahun baharu dan pelancaran TMM 2024 akan diadakan di Jeti Pengkalan Rama, termasuk pertunjukan bunga api dan persembahan oleh artis tempatan berasal dari Melaka seperti Zamani, Ziana dan Anuar Zain.

Menjawab mengenai masalah kesesakan di bandar raya, Ab Rauf berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan kajian terperinci bagi memudahkan pelancong dan pengunjung untuk datang ke negeri itu.

“Segala perancangan dan cadangan baharu yang akan dilaksanakan tidak akan merugikan mana-mana pihak. Lebih ramai orang datang ke Melaka, lebih banyak peniaga yang berasaskan pelancongan akan mendapat manfaat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment