Amanah yakin terus bersama kemudi negara

KLANG 23 Dis. – Presiden Amanah Mohamad Sabu yakin partinya mempunyai peranan masa depan dan potensi besar untuk terus bersama mengemudi negara bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata keyakinan itu disebabkan Amanah menganjur serta memperjuangkan pegangan ideologinya secara progresif dan inklusif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas-asas fundamental yang lama disepakati dalam piagam PH.

Katanya, Amanah tahu dan amat sedar akan kerencaman serta saling bersilang pelbagai tuntutan agama, budaya dan kaum.

“Hanya mereka yang benar-benar insaf mengenai pentingnya menjaga kestabilan politik serta keharmonian kaum dan budaya, akan mengambil jalur ‘sentrist’, moderat dan progresif dalam penganjuran dan advokasi ideologi masing- masing.

“Pastinya mereka yang punya kelainan dan keunikan pegangan ideologi tertentu, andainya tetap mahu dan mampu bersatu dan berpadu, akan terus kekal bergandingan, demi menjaga kemaslahatan rakyat dan pembinaan semula negara tercinta ini,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden Amanah dan Perasmian Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden PKR, Amiruddin Shaari; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dr Zambry Abdul Kadir serta pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Menurut Mohamad, Amanah menolak diskriminasi kaum minoriti dengan konsep ketuanan kaum serta menentang politik identiti dibawa Perikatan Nasional (PN).

Katanya, politik identiti mesti ditentang oleh Amanah kerana membawa pendekatan politik adu domba, politik menakut-nakut orang Melayu dan lslam, kononnya Islam terancam dan Melayu terabai.

“Apabila pegangan agama secara melampau (ghuluw), bergandingan dengan politik perkauman yang seolah-olah lupa akan sifat kepelbagaian budaya dan kemajmukan etnik negara-bangsa ini, negara akan berterusan dalam berkeberantakan serta konflik perebutan kuasa politik dengan mengambil corak dan orientasi ‘identiti politik’ yang amat toksik, ekstrem dan jumud.

“Agama dan kaum adalah dua identiti yang paling mudah disalahgunakan dan ditunggang, sebagai modal atau kapital politik, sekali gus membawa natijah buruk fenomena serta gejala ‘takfiri’ atau mudahnya ‘mengkafir’ lawan politik sebagai tidak Islam atau kurang Islam berbanding mereka,” katanya.

Mohamad juga menegaskan, Amanah bukan parti yang meletakkan pergantungan kekuatan partinya kepada karisma serta aura seseorang pemimpin.

Sebaliknya, teras kepemimpinan parti Amanah adalah kepada keserasian kolektif kepimpinannya yang padu di mana setiap seorang memainkan peranan yang agak unik dan istimewa dalam kepemimpinan parti.

“Ramai tidak tahu bahawa ukuran kekuatan Amanah, yakni kekuatan strategi dan pendekatan politiknya yang menganjurkan politik koalisi sebagai asas kekuatan untuk memenangi pilihan raya. Ramai yang sedar hari ini bahawa sudah berlalu sistem satu parti dominan.

“Mencari rakan-rakan koalisi yang serasi dan mempunyai cita-cita serta objektif tujuan yang sama itu adalah amat penting. Bukan sekadar ‘perkahwinan ikut keperluan’ sahaja, kerana ia tidak akan kekal bahkan amat rapuh,” katanya.

Katanya, Kerajaan Perpaduan perlu segera sedar dan insaf bahawa semua parti perlu bersama-sama untuk menyelamatkan negara dari terus hancur berkeberantakan.

“Kita bersama kerana mahu mengekalkan kestabilan demi memacu kembali pembangunan ekonomi, buat mensejahterakan rakyat dan mengembalikan maruah negara-bangsa ini,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment