Saya tidak ada kem, pasukan – Mohamad

KLANG 23 Dis. – Mohamad Sabu, menyerahkan sepenuhnya kepada 27 Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang akan dipilih perwakilan esok untuk menentukan barisan baharu kepemimpinan parti itu.

Presiden Amanah itu turut menjelaskan, beliau tidak mempunyai ‘kem’ atau pembentukan pasukan tertentu yang ditubuhkan untuk memberi sokongan kepadanya bagi terus menerajui parti.

“Saya tidak ada kem. (Pemimpin dipilih) akan melihat siapa yang berupaya mengemudi parti untuk masa depan. Ada 27 pemimpin, kalau pilih siapa pun, ahli parti akan terima pasukan yang akan diumumkan petang esok.

“Dalam parti politik ini, kena terima sesiapa saja diterima oleh ahli dan pimpinan ahli. Seramai 27 pimpinan akan tentukan dan kita serah kepada mereka tentukan kedudukan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Pidato Presiden serta merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setakat hari ini, beliau sendiri tidak tahu peluangnya sama ada akan dipilih semula untuk menerajui parti atau sebaliknya.

“Saya tak tahu (dipilih semula atau tidak). Setiap hari hanya pergi pejabat, tengok telur ayam dan padi,” katanya yang sudah dua penggal memimpin parti yang genap dua tahun penubuhannya pada September lalu.

Terdahulu Mohamad mahu semua perwakilan dan ahli akar umbi parti tahu dan sedar serta bersaing secara sihat, terbuka, telus dan demokratik ‘Fastabiqul Khairat’.

“Saya (juga) mahukan semua peringkat parti, sama ada di peringkat Nasional, Negeri, sayap Wanita Amanah (AWAN), Pemuda, Wanita Muda Aamanah (Warda), kawasan sampai ke cawangan supaya merapatkan saf sejurus selepas pemilihan parti ini selesai,” katanya.

Beliau mengingatkan parti itu mungkin terdedah kepada konflik dalaman dan keberantakan sekiranya wujud perjuangan untuk kepentingan diri atau kelompok tertentu dalam mendepani pemilihan parti kali ini.

Amanah akan mengadakan pemilihannya petang esok sebaik berakhir konvensyen mereka, dengan kaedah pemilihannya akan dilakukan menerusi undian dalam talian.

Sementara itu, Setiausaha Agungnya,  Dr Mohd Hatta Ramli, berkata pada pemilihan esok, lebih 1,000 perwakilan yang layak akan memilih 27 dari 102 pemimpin yang sudah mencalonkan diri sebelum ini.

Pemilihan dijangka bermula pukul 4 hingga 5 petang yang akan memilih 27 jawatankuasa.

“Kemudian 27 pemimpin dan tiga pemimpin sayap akan mengadakan perbincangan dipengerusikan pengerusi tetap untuk menentukan ‘top five’ iaitu masing-masing seorang presiden dan timbalan presiden serta tiga naib presiden,” katanya.

Beliau berkata, siapa yang akan dipilih menerajui Amanah selepas ini dijangka diketahui lewat petang esok, sementara barisan Ahli Jawatankuasa Amanah yang lain akan diputuskan kemudian.

Nnn

Related posts

Leave a Comment