Laungan azan bergema di lokasi SAR

HULU SELANGOR 21 Dis. – Laungan azan berkemundang di lokasi pencarian tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya, dekat sini sebelum bermulanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari yang keenam.

Menurut laman sosial Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, operasi hari ini memberi tumpuan di sektor C dan sektor B.

Unit K9 akan digerakkan untuk mencari lapan lagi mangsa yang masih belum ditemukan di samping bantuan jentera seperti excavator  bagi menggali tanah dan dialihkan bagi mencari petunjuk kedudukan mangsa.

Malam tadi, korban ke-25, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan di lokasi pencarian tanah runtuh itu kira-kira pukul 11.20 malam sebelum operasi hari kelima ditangguhkan pada 12 tengah malam.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terbabit dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak.

SAR dipergiatkan dengan anggota pasukan ‘sweeper’ ditingkatkan empat kali ganda kepada 28 orang berbanding hanya tujuh orang, semalam.

Pasukan sweeper itu terdiri daripada 14 pegawai dan anggota, masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Related posts

Leave a Comment