KLANG 23 Dia. – Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu mengekalkan jawatan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional bagi penggal 2023-2026 pada pemilihan yang berlangsung semalam.
Beliau akan berganding dengan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari, yang dipilih sebagai Timbalannya.
Pemilihan oleh 498 perwakilan itu turut menyaksikan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim bersama Dr Salmee Said dan Dr Kamaliah Noordin dipilih mengisi tiga jawatan Naib Ketua AWAN Nasional.
Jawatan Speaker pula disandang Zarina Dzulkupli yang menang tanpa bertanding, diikuti Rosmayana Abu Rahim sebagai Timbalannya, manakala Norlia Salleh serta Suriati Sukardi sebagai Juruaudit.
Dalam ucapan penangguhan Konvensyen AWAN Nasional 2023, beliau berterima kasih kepada perwakilan seluruh negara yang memberi kepercayaan kepada 26 rakan pimpinan termasuk beliau untuk meneruskan khidmat kepada parti.
Beliau turut berpesan kepada Ahli Jawatankuasa Pimpinan (JKP) AWAN Nasional baharu untuk segera mengadaptasikan diri kerana tugas dan tanggungjawab di peringkat nasional adalah berat.
Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Amanah manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid sebagai Timbalan Ketua Pemuda.
Mohd Hasbie dilantik Ketua Pemuda pada 23 Oktober 2021 menggantikan Shazni Munir Mohd Ithnin yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada 6 Ogos tahun sama.
Dalam pada itu Muhammad Faris Arriffin, Mohammad Ammar Atan dan Mohd Zulhazmi Hassan dipilih Naib Ketua Pemuda.
Selain itu, Dr Mohd Izzuddin Nazaruddin dipilih sebagai Speaker dan Mohd Hazmir Suboh sebagai timbalannya, manakala Luqman Al Fudail Abdul Karim serta Muhamad Haris Abdul Omar sebagai juruaudit.
Nnnn
