Belanjawan 2021 Johor lulus

ISKANDAR PUTERI 6 Dis. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2021 dengan defisit sebanyak RM284.14 juta sekaligus ‘menyelamatkan’ kedudukan Menteri Besar, Hasni Mohammad.

Sesi penggulungan dan persetujuan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi dan bantahan.

Terdapat pelbagai spekulasi berhubung kedudukan Hasni berikutan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu, gagal memperoleh sokongan majoriti usul undi percaya yang dikemukakan, termasuk daripada ADUN UMNO.

Susulan itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menggesa UMNO turut mengemukakan usul percaya terhadap Hasni supaya rakyat dapat melihat adakah kerajaan Johor pimpinan Hasni turut memiliki keabsahan untuk mentadbir negeri berkenaan.

Hasni, ketika rundingan meminta kelulusan membelanjakan sebanyak RM850 juta menerusi Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan 12 agenda utama Belanjawan Johor 2021.

Dalam rundingan itu, perbelanjaan tambahan bernilai RM17.23 juta turut diluluskan.

Kerajaan negeri pada pembentangan Belanjawan Johor 2021 mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM1.609 bilion manakala perbelanjaan berjumlah RM1.857 bilion tahun depan.

Perbelanjaan mengurus yang merangkumi caruman kepada kumpulan wang pembangunan berjumlah RM997.21 juta, iaitu RM513.69 juta bagi emolumen dan RM483.51 juta bagi perbelanjaan lain.

Belanjawan Johor 2021 yang bertema ‘berdaya tahan demi kemakmuran’ itu akan merangkumi tiga asas utama, iaitu pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, memulihkan ekonomi dan membina daya tahan fiskal serta ekonomi negeri.

Related posts

Leave a Comment