Jadikan iktibar denda RM415 juta

PAPAR 23 Dis. – Penalti sebanyak RM415 juta terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam semalam perlu dijadikan iktibar kepada semua penggiat industri untuk berniaga secara beretika dan mewujudkan persaingan perniagaan sihat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali berkata, kes berkaitan disifatkan terbesar kerana melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga ayam.

Katanya, ia membabitkan unsur pakatan harga untuk menaikkan harga makanan ayam yang sekaligus menaikkan harga bekalan haiwan itu di pasaran kerana 72 peratus kos pengeluaran ayam adalah membabitkan kos makanan.

Menurutnya, isu terbabit bukan sekadar isu anti-persaingan dan manipulasi pasaran, namun ia terkait secara langsung dengan kos sara hidup rakyat.

“Penalti sebanyak RM415 juta yang dikenakan melibatkan lima syarikat itu merupakan kes terbesar. Saya mengharapkan ia menjadi peringatan kepada pihak industri supaya menjunjung etika dalm berniaga.

Bersama-sama kita menegakkan dan mewujudkan persaingan yang sihat. Kita tahu kerajaan sekarang fokus kepada usaha untuk memperbanyakkan tender terbuka namun ini juga merupakan isunya.

“Tender terbuka berhadapan dengan risiko tipuan bida. Maksudnya, apabila syarikat-syarikat ini berpakat masuk dengan harga tertentu jadi mereka boleh mempengaruhi.

“Apabila penilaian tender dibuat, kumpulan yang sama senarai itu akan berpeluang untuk mendapat projek yang berkenaan,” katanya selepas merasmikan Trek Larian Getah Sintetik Padang Pekan Papar dan Program Jualan Rahmah, di sini, hari ini.

Semalam lima syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.

Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Ini kes terbesar sejak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ditubuhkan pada tahun 2011.

Lima daripada 29 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan di seluruh negara itu dianggarkan menguasai sehingga 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini.

Armizan berkata kewujudkan kartel adalah salah satu bentuk perbuatan sabotaj terhadap ekonomi negara dan turut menjejaskan usaha KPDN dalam mewujudkan perdagangan dalam negeri yang sihat.

“Selain itu, kesan paling besar adalah kepada kos sara hidup rakyat kerana apabila tidak wujudnya persaingan sihat, pihak tertentu boleh memanipulasi pasaran dengan menaikkan harga untuk mendapatkan keuntungan maksimum dikalangan industri.

“Golongan yang mengalami kerugian adalah rakyat kita,” katanya.

Armizan berkata pihaknya komited untuk mempergiatkan lagi penguatkuasan bagi membanteras kewujudan kartel dalam negara ini disamping memperkasakan lagi peranan MyCC pada tahun hadapan.

Katanya, pihaknya akan memberi fokus terhadap pengkuatkuasaan menerusi tiga perkara iaitu sektor pertanian, sektor makanan dan tipuan bida.

“Ini merupakan tiga fokus MyCC pada tahun depan untuk memastikan wujudnya perdagangan dalam negeri yang sihat serts proses persaingan dapat digalakkan dan dikawal dengan sebaiknya,” katanya.

Armizan juga menjelaskan peranan MyCC bakal menjadi lebih penting bermula tahun hadapan apabila dilaksanakan semula penyasaran subsidi, bermaksud banyak barang keperluan rakyat ini diapungkan.

“Apabila harga barangan rakyat diapungkan tanpa subsidi, maka ia bergantung kepada pasaran harga yang ditentukan. Jadi wujud risiko kartel tertentu di kalangan penggiat industri yang berpakat menaikkan harga akan meningkat,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment