Covid-19 naik 87 peratus, keadaan terkawal

PUTRAJAYA 11 Dis: Kes jangkitan Covid-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan apabila naik 87 peratus, dari 3,626 seperti direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-48 (ME47/2023) kepada 6,796 kes pada ME48, 19 November hingga 25 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata walaupun berlaku peningkatan, keadaan masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, selain Malaysia, peningkatan kes juga dilaporkan secara global termasuk di negara jiran lain sambil memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa dalam mod bersiap siaga serta akan terus memantau situasi dan varian Covid-19 dari semasa ke semasa.

“Kadar kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit yang disyaki Covid-19) ke fasiliti kesihatan adalah 3.5 bagi setiap 100,000 penduduk dan 1.0 bagi setiap 100,000 penduduk adalah bergejala ringan.

Pada ME 48/2023, pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.8 peratus, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 pula adalah sebanyak 1.1 peratus,” katanya.

Dr Muhammad Radzi juga mengesahkan setakat ini tiada varian baharu dikesan di Malaysia.

“Sehingga ME 48/2023, 72.9 peratus daripada Variant of Concern (VOC) yang dikesan adalah terdiri daripada varian Omicron diikuti dengan 26.2 peratus daripada varian Delta dan selebihnya adalah varian Beta dan Alpha,” katanya.

Related posts

Leave a Comment