Minyak masak: ECOSS akan ditambah baik

KUALA LUMPUR 27 Nov. –  Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) akan ditambah baik bagi memastikan rantaian pembekalan minyak masak sampai ke peringkat pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ketika ini sistem berkenaan memantau rekod transaksi jualan minyak masak paket secara digital dari kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit.

“Bagaimanapun, kementerian setakat ini tidak dapat mengukur berapa golongan isi rumah yang menerima agihan dan berapa banyak yang dibeli oleh peniaga mikro. Ini kerana, sistem itu terhenti di peringkat peruncit.

Oleh itu, kita akan tambah baik,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai jumlah minyak masak paket bersubsidi dikeluarkan oleh kementerian pada setiap bulan dan berapa daripada jumlah itu diagihkan kepada golongan isi rumah B40 dan peniaga mikro.

Fuziah berkata, ketika ini sistem subsidi pukal yang diguna pakai adalah sistem yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu tetapi kerajaan hari ini sependapat bahawa terdapat keperluan penyasaran subsidi bagi mengelakkan ketirisan.

“Kementerian lihat mereka yang wajar menerima subsidi ini adalah golongan B40 dan sebahagian daripada M40, iaitu anggaran sebanyak 5.8 juta isi rumah.

“Namun, arah ke hadapan minyak masak bersubsidi akan disasarkan juga kepada peniaga mikro. Pada masa sama, saya setuju ketika ini ada ketirisan dan pemindahan tunai adalah salah satu cara terbaik untuk menyasarkan subsidi minyak masak, namun mekanisme belum kita tuntaskan, tapi itulah arah dan tujunya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment