Putra bantah pelaksanaan IDN

SEPANG 27 Nov. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan tegas menolak cadangan Kerajaan Madani untuk melaksanakan pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN), kata Presidennya,  Dr Ibrahim Ali.

Katanya, kajian secara mendalam wajib dibuat terlebih dahulu dengan mengambil kira semua aspek keselamatan, privasi rakyat, kos dan lain-lain.

“Ini kerana yang memiliki industri maklumat (IT) dalam negara dikuasai oleh bangsa asing. Maka sikap berhati-hati mesti diutamakan sebelum gopoh-gapah pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ibrahim, pelaksanaan IDN yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa menimbulkan kegelisahan rakyat kerana banyak persoalan, termasuk hal-hal keselamatan dan privasi peribadi masih belum terjawab dengan meyakinkan.

“Pasti pelaksanaan Digital IDN seperti durian runtuh kepada yang diberi pelaksanaan projek ini dan menyerah privasi peribadi setiap rakyat yang majoriti orang Melayu,” katanya.

Beliau menarik perhatian, negara seperti Kanada yang jauh lebih maju dari Malaysia secara tegas menolak pelaksanaan IDN atas sebab keselamatan dan privasi rakyatnya.

“Dewasa ini, masalah penipuan siber atau “Scam” masih tidak dapat dibendung. Kemungkinan besar pelaksanaan IDN, bakal mengundang satu lagi jenayah digital bentuk baharu dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau menyifatkan IDN satu “rantai ghaib” yang dipasang ke atas badan seseorang dan dengan kaedah Artificial Inteligent (AI) setiap pergerakan, citarasa, hatta pemikiran pemakai IDN adalah mudah dikawal seolah haiwan yang dirantai.

Beliau berkata, rekod rasmi peribadi seperti Mykad sudah memadai.

Ibrahim juga percaya pelaksanaan IDN bukan sahaja menambah beban tugas kakitangan KDN, malah akan meningkat perbelanjaan kerajaan sementara yang mendapat laba adalah kontraktor pembekal peralatan, bahan, software dan hardware berkaitan.

Related posts

Leave a Comment