KUALA LUMPUR 9 Nov. – Seorang anggota Parlimen pembangkang dari Bersatu hari ini menyatakan kesediaan menyokong kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika permohonan peruntukan RM30 juta diluluskan untuk kawasannya.
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) membuat perakuan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, permohonan peruntukan itu, antara lain bagi kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).
Selain itu, permohonan peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim itu, sebanyak RM16 juta.
“Saya dengan ikhlas menyampaikan suara pengundi dan penduduk Bukit Gantang kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
“Dengan hati yang ikhlas, kalau lulus RM30 juta ini, saya juga nak melihat sejauh mana Kerajaan Madani ini adil dalam memberikan peruntukan.
Dalam Dewan yang mulia ini, saya mohon jika saya mendapat peruntukan ini untuk dibangunkan kawasan saya, saya akan beri sokongan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan Kerajaan Madani,” katanya.
Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu iaitu dari Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar dan Labuan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia bermula dengan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pada 12 Oktober lalu, diikuti Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pada 30 Oktober lalu, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli), semalam.
Di luar Dewan Rakyat, Dr Ahmad Zahid menjangka lebih ramai anggota Parlimen pembangkang khususnya dari Bersatu akan menyokong kerajaan pimpinan Anwar.
