PUM ambil 10 ketetapan konflik di Gaza

SHAH ALAM 5 Nov. – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyarankan kerajaan menggesa negara-negara Arab dan negara Islam menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan dengan Israel dan terus memperkasakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi menuntut sebuah negara Palestin yang merdeka.

Ia antara satu daripada 10 ketetapan yang disepakati menerusi Seminar Konflik Palestin Israel anjuran PUM semalam susulan perkembangan terkini di Semenanjung Gaza.

Berikut 10 ketetapan yang diambil susulan angka korban yang semakin meningkat, pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, sekatan terhadap keperluan asas seperti sekatan akses internet, air, minyak dan elektrik serta halangan untuk menyampaikan bantuan keperluan asas.

1. Mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan kerajaan Israel yang sentiasa melanggar undang-undang antarabangsa menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak yang sangat dahsyat di Gaza, Palestin.

2. Mendesak kerajaan Israel supaya menghentikan serangan tidak bertamadun ke atas penduduk Gaza dan melakukan gencatan senjata dengan kadar segera supaya tindakan ke arah perdamaian dapat diambil.

3. Menggesa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia menghentikan segala bentuk sokongan terhadap keganasan Israel dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab menyelesaikan konflik berdarah tersebut.   

4. Mencadangkan pihak keselamatan negara mengambil tindakan tegas dan berterusan ke atas ejen Mossad yang dikenalpasti merekrut sebilangan rakyat Malaysia kerana menggugat keselamatan negara.

5. Menggesa semua negara Arab khususnya empat negara bersempadan dengan Palestin iaitu Jordan, Mesir, Lubnan, Syria bersatu dan bekerjasama secara kolektif dan efektif dalam membantu membangun semula Palestin dalam semua aspek.

6. Menyarankan kerajaan Malaysia menggesa negara-negara Arab dan negara Islam menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan dengan kerajaan Israel dan terus memperkasakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi menuntut sebuah negara Palestin yang merdeka.

7. Menggesa kerajaan Malaysia untuk memainkan peranan utama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya dapat menggerakkan pertubuhan ini secara proaktif ke arah penyelesaian konflik berdarah di Palestin.

8. Menuntut kerajaan Israel dan negara berkepentingan memberi kebenaran sepenuhnya kepada pihak luar menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Gaza di Palestin.

9.Menawarkan kepada pihak kerajaan Malaysia kerjasama dalam meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang konflik Israel-Palestin dan keperluan penyelesaian secara aman. Semua pihak diseru bersatu dan berperanan secara aktif membantu rakyat Palestin.

10. Menyokong sepenuhnya fatwa tentang hukum Syara’ yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang mewajibkan campur tangan tentera dalam kalangan negara Islam khususnya sebagai tentera pendamai di Semenanjung Gaza, Palestin

Related posts

Leave a Comment