Pas, PN sedia tampil dasar, hala tuju jelas

SHAH ALAM 20 Okt. – Pas dan Perikatan Nasional PN (PN) perlu bekerja lebih kuat dan sentiasa bersedia untuk mengambil alih Kerajaan Pusat dengan menampilkan dasar, hala tuju serta kepemimpinan yang lebih jelas, kukuh, kompeten dan berwibawa.

Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan berkata, Pas dan PN perlu bersedia mengambil alih Kerajaan Pusat memandangkan kepemimpinan kerajaan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) gagal menangani isu-isu yang membelenggu masyarakat dan negara.

“Mereka sebenarnya kerajaan gagal – they won’t walk the talk (cakap tak serupa bikin).

Beliau mengakui, Pas dan PN boleh mengambil alih kerajaan dalam tempoh terdekat memandangkan kepemimpinan kerajaan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terus gagal menangani isu rakyat.

“Tidak ada pilihan lain sebaliknya menjadi tanggungjawab besar yang perlu dilunaskan sebaik-baiknya oleh PN, sebagai kerajaan mahu pun pembangkang susulan kepercayaan dan harapan tinggi diberi pengundi dan rakyat kepada kita,” katanya pada ucapan alu-aluan Muktamar Pas kali ke-69 di IDCC, di sini, hari ini.

Muktamar Pas kali ke-69 dirasmikan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi PN,  Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Muktamar hari ini dengan penuh keinsafan dan kesedaran bersolidariti bersama rakyat Palestin mengutuk keras perbuatan dan tindakan jenayah zalim rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Katanya, pentas Muktamar Pas turut mengutuk dasar dan tindakan kuasa Barat lain yang turut sama mempertahankan dan menyokong rejim berkenaan.

Kira-kira 1,400 perwakilan hadir membabitkan 197 kawasan pada Muktamar Pas kali ini yang mewakili pelbagai Dewan termasuk Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak.

Related posts

Leave a Comment