Langkah ke Putrajaya terhalang, jangan tinggal semuanya

SHAH ALAM 20 Okt. –  Pas belum mencapai tahap tamkin (berkuasa) sepenuhnya dalam kerajaan Pusat walaupun parti Islam itu memenangi kerusi Parlimen yang banyak dan berjaya menguasai empat kerajaan negeri.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu memiliki jumlah besar dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang membawa makna, langkah mereka ke Parlimen berjaya mendapat dukungan rakyat.

“Namun, langkah kita ke Putrajaya masih lagi terhalang. Maka, kita wajib berpegang kepada para ulama yang menegaskan – Apa yang tidak dapat dilakukan semuanya, jangan pula ditinggalkan semuanya,” katanya.

Justeru Ahli Parlimen Marang itu berkata, pencapaian itu perlu dijadikan pangkalan yang kuat bagi meneruskan perjuangan untuk mencapai kemenangan sepenuhnya.

“Kita hendaklah mengisi kemenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan sifat rabbani yang sentiasa berhubung dengan Allah SWT melaksanakan keadilan dan berkebajikan, dalam negara yang berdaulat dan berkuasa melaksanakan kewajipan dengan sempurna, serta berwawasan akhirat,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar “Adil, Prihatin dan Berkebajikan’ dan merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC, di sini Shah Alam, hari ini.

Hadir sama pada perasmian itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN)  Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Hadi berkata kerusi Parlimen Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menunjukkan peningkatan sebanyak 140 peratus, iaitu 43 kerusi berbanding 18 kerusi pada PRU14.

Katanya, parti di blok kerajaan ketika ini iaitu UMNO, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Dap mengalami penurunan kerusi berbanding PRU14.

“Dalam PRN di enam buah negeri, Pas mencapai tahap kemenangan 83 peratus dengan mendapat kerusi DUN tertinggi sebanyak 105 kerusi berbanding parti-parti lain.

“Manakala, kerusi yang dimenangi keseluruhan oleh Perikatan Nasional (PN) lebih tinggi berbanding Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), dengan PN menang sebanyak 146 kerusi dan PH-BN hanya mendapat 99 kerusi,” katanya.

Beliau berkata, Pas telah menjalankan ‘post-mortem’ untuk melihat aspek kelemahan yang perlu diperbaiki dan aspek positif yang perlu dikekalkan serta ditingkatkan.

Jelas Abdul Hadi, antara yang telah dikenal pasti ialah kelemahan menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan, walaupun berlaku peningkatan yang mendadak.

“Aspek positif pula, antaranya mengekalkan sokongan pengundi muda, kekuatan media sosial, prestasi kerajaan negeri, imej bersih dan bebas rasuah, penambahan ahli dan cawangan, kesediaan jentera serta kualiti calon,” kata beliau.

Abdul Hadi juga meminta semua sayap parti terus berperanan mengikut pembahagian Dewan Ulamak, Muslimat, Pemuda, Dewan Himpunan Pendukung Pas bahkan Sidang Al-Sabiqun.

“ Peranan sayap parti, jabatan, dan semua lajnah perlu digerakkan secara berterusan bukan bermusim, sehingga dapat dikerahkan bila-bila masa sahaja”, katanya.

Related posts

Leave a Comment