KUALA LUMPUR 16 Okt. – Anwar Ibrahim menegaskan, sudah tiba masanya untuk Malaysia melakukan apa sahaja yang perlu untuk menyelesaikan kezaliman yang berlaku terhadap rakyat Palestin akibat peperangan dengan Israel.
Perdana Menteri berkata, perbincangan dengan wakil-wakil negara yang terlibat telah menunjukkan keresahan yang sedang meluap dan jalan buntu kerana Israel diberikan sokongan penuh oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan seolah-olah kerajaan enggan menghantar pasukan tentera ke Gaza apabila ada dalam kalangan di Malaysia juga menyatakan suara bahawa kita enggan menghantarkan pasukan tentera.
“Kepemimpinan tentera minta saya sampaikan adalah tidak adil untuk mana-mana kalangan, dalam penyampaian mesej mereka dalam tazkirah mereka untuk menyinggung hal ini.
Ini bukan keputusan mudah untuk menghantar tentera termasuk pendamai atau pengaman, ataupun koridor kemanusiaan itu mesti disepakati oleh negara jiran. Kalau tidak pesawat kita tidak boleh mendarat.
“Jadi saya minta supaya ada kefahaman, jangan dikelirukan rakyat. Kalau diperlukan (untuk hantar), dikatakan perlu kita sepakat sebagai satu komuniti ummah bersama rakan-rakan dan jiran untuk memutuskan apa sahaja yang perlu untuk menyelamatkan daripada terus dizalim dan jadi mangsa kekejaman,” katanya ketika memberi penerangan mengenai situasi Palestin di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar juga memaklumkan akan ke Riyadh, Arab Saudi pada Khamis ini, bagi menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN, dengan mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.
Katanya, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, juga akan berangkat ke Jeddah malam ini, atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi sidang berkenaan.
“Putera Mohammed menelefon saya beberapa hari lalu, meminta saya sambung sehari lagi pada 21 Oktober supaya diadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi.
“Saya akan berbincang dengan teman lain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir dan Turkiye, sama ada perlu untuk mengadakan beberapa pertemuan lain dengan pemimpin negara lain.
Sesuatu lebih segera harus dilakukan. Barat dan Eropah mengambil sikap kepura-puraan dan hipokrit, keras terhadap Russia dalam isu Ukraine dan mengizinkan kezaliman berterusan,” katanya ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sesuatu lebih segera harus dilakukan. Barat dan Eropah mengambil sikap kepura-puraan dan hipokrit, keras terhadap Russia dalam isu Ukraine dan mengizinkan kezaliman berterusan,” katanya.
