KUALA LUMPUR 14 Okt. – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menjelaskan standard tempoh masa penyediaan secara rapi rumput padang seharusnya mengambil masa 12 bulan untuk keseluruhan proses siap sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, pihak PSM hanya mempunyai tempoh lapan bulan di samping keadaan hujan sepanjang minggu lalu juga tidak membantu dalam penyediaan pertumbuhan padang baharu itu.
PSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan beberapa tompok bertentangan ‘grandstand’ kurang kukuh akibat pendedahan cahaya matahari yang lebih rendah di kawasan terbabit.
Sambil menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku, PSM berkata pihaknya menggunakan ‘grow light’ bagi merangsang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu, namun tetap tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari semula jadi.
PSM tampil menjelaskan punca padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil mengalami kerosakan ketika aksi Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India, malam tadi.
Kualiti padang di Stadium Nasional yang baru selesai dinaik taraf mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak susulan rumput di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian padang ketika aksi Malaysia menentang India.
PSM bagaimanapun yakin perkara itu akan diatasi dan tompokan tertentu di padang Stadium Nasional bakal pulih sepenuhnya menjelang saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pertengahan bulan depan.
Aksi Malaysia berdepan India itu adalah perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Nasional selepas ia ditutup sejak tahun lalu bagi kerja naik taraf.
Stadium berkenaan sekali lagi akan digunakan bagi aksi final Pestabola Merdeka 2023 membabitkan Malaysia dan Tajikistan, Selasa ini.
Untuk rekod, baru-baru Ini Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, telah menyempurnakan Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City (KLSC) yang kini mempunyai rumput Zeon Zoysia!
Majlis ini diadakan sebagai penghargaan ke atas kurniaan tajaan dana dari Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk penukaran rumput di padang Stadium Nasional.
PSM melaksanakan kerja penukaran rumput Stadium Nasional sebaik sahaja majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bersama Ketua Pegawai Eksekutif, PSM dengan disaksikan oleh TMJ pada 18 Mac 2023.
Serahan tapak projek kepada syarikat Talenttwo (M) Sdn Bhd dilaksanakan pada 1 April dan kerja penukaran rumput dijalankan sehingga 30 September manakala tempoh penyelenggaraan selama satu tahun bermula 1 Oktober 2023.
Projek Kerja-Kerja Menaik Taraf Padang Stadium Nasional, struktur dan tapak semaian melibatkan kos sebanyak RM4.7 juta yang dibiayai oleh PSM ; Kos Pembinaan & Penyelenggaraan Padang (1 tahun) adalah RM2,213,851.10; Pembelian Mesin dan Peralatan Penyelenggaraan Padang – RM2,500,000.00; Kerja Pemasangan Laluan Paip Baru dan Laluan Kabel Baru dari Rumah Pam – RM47,500.00; Kerja Tambahan Penyambungan Kabel Elektrik RM33,925.00.
Jumlah Keseluruhan adalah sebanyak RM 4,795,276.10
