KUALA LUMPUR 14 Okt. – Putra menggesa kerajaan Madani memanggil Duta Amerika Syarikat (AS) di sini bagi menyatakan kecaman Malaysia terhadap Israel yang terus melakukan kekejaman dan kezaliman ke atas rakyat Palestin.
Presiden Putra Dr Ibrahim Ali berkata, pada masa yang sama, Kerajaan Madani perlu menghantar nota bantahan melalui Duta AS di sini, Duta Malaysia di AS serta Duta Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, nota bantahan itu perlu sampai segera kepada Setiausaha Agung PBB sebagai tanda kecaman di atas perbuatan zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
“Nota bantahan dan kecaman juga hendaklah diserahkan kepada Presiden Perancis, Perdana Menteri Britain, Chancelor German, Presiden India dan Presiden Parlimen Eropah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim mahu Malaysia menunjukkan pendirian yang telus dan jelas terhadap isu kekejaman dan kezaliman zionis Israel yang sudah berlarutan lebih 75 tahun.
Katanya, sumbangan tambahan RM10 juta daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) tidak mencerminkan kemarahan majoriti warga dunia sejagat selain untuk menunjukan simpati secara sepintas lalu.
Malaysia pada 12 Oktober lalu menghulurkan sumbangan awal RM1 juta daripada AAKRP untuk meringankan beban ditanggung penduduk negara itu susulan pergolakan yang berlaku.
Sumbangan itu diserahkan Menteri Luar, Dr Zambry Abd Kadir kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di lobi Parlimen.
