Kerusi: Amanah cadang runding semula

KOTA BHARU 25 Jan. – Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan rundingan semula agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dan Johor sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Pengarah Komunikasi,  Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu penting bagi memastikan agihan kerusi dibuat secara adil kepada semua parti yang membentuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, landskap politik semasa di Melaka dan Johor menunjukkan kebanyakan kerusi DUN dikuasai Barisan Nasional (BN), sekali gus memerlukan rundingan lebih seimbang antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jika PRN Melaka dan Johor diadakan, sebagai usaha bersama dalam Kerajaan Perpaduan, rundingan kerusi perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama untuk semua parti.

Rundingan kerusi perlu diadakan untuk keseimbangan agihan kerusi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu KADA 2026 Pengerusi Bersama Warga KADA di sini, hari ini.

Khalid berkata, pendekatan incumbent atau keutamaan kepada penyandang tidak lagi wajar diguna pakai kerana ia boleh menjejaskan keadilan kepada parti lain, khususnya dalam kalangan parti komponen PH.

“Jika kita terus guna dasar incumbent, ia jelas tidak adil. Kami berharap UMNO dan BN bersikap terbuka untuk menyerahkan sebahagian kerusi yang disandang kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan, kita tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan sama ada untuk kekal menyokong pendekatan sedia ada atau menguji sokongan rakyat melalui pertandingan tiga penjuru. Keputusan kami bergantung kepada pendirian UMNO dan BN,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, pelaksanaan konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan UMNO dijangka menjadikan PRN Melaka sebagai medan awal penilaian keberkesanan pendekatan itu.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perincian konsep Rumah Bangsa dalam konteks PRN itu masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan secara terperinci dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment