Usul minta bahas kilang disyaki sorok 180 tan BPT

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari mengemukakan usul meminta Dewan Rakyat membahaskan isu sebuah kilang beras di Kedah yang disita kerana disyaki menyorok 180 tan beras putih tempatan (BPT).

Usul dikemuka kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1).

Pada sidang medianya di lobi Parlimen, Dr Mohammed Taufiq menyifatkan usul itu sebagai perkara tertentu memandangkan isu kekurangan beras ini sudah berlarutan sejak berbulan lamanya dan kini terbukti wujudnya aktiviti penyorokan beras.

“Usul ini perlu disegerakan kerana isu menyorok beras ini memerlukan penjelasan penuh pihak berwajib dan perlu dibahaskan di Parlimen. Kita perlu rungkai siapa yang bertanggungjawab dalam ‘jenayah’ ini.

Isu ini berkepentingan orang ramai sebab ia sudah menjejaskan makanan ruji rakyat. Ini satu pengkhianatan terbesar oleh pihak berkenaan.

“Saya harap pihak berwajib dapat ambil tindakan segera, sementara Parlimen dapat berbahas isu sebenar dan ramai Ahli Parlimen juga boleh suarakan hal ini,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Speaker, Ramli Mohd Noor berkata, pihaknya maklum mengenai usul dikemukakan Ahli parlimen Sungai Petani itu, namun Speaker (Johari) akan membuat keputusan sama ada boleh dibentang di dewan atau sebaliknya.

“Usul itu sudah diambil maklum dan dalam pertimbangan Speaker Dewan Rakyat. Kita menanti keputusan Speaker dulu,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, berkata tindakan menyita makanan ruji negara itu dilakukan selepas kilang terbabit didapati menyorok bekalan beras dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Katanya, beras bergred Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) atau BPT itu ditemukan di dalam kampit jumbo, dianggarkan bernilai RM405,000.

Sitaan itu dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626.

Foong Hin berkata, ia adalah sitaan pertama dalam tempoh Op BPT dilaksanakan yang setakat ini merangkumi pemeriksaan terhadap lapan pemborong dan enam pengilang di negeri ini.

Beliau berkata, jika didapati bersalah, pengurusan kilang terbabit boleh didenda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen.

Related posts

Leave a Comment