Dr Mohd Faudzinaim mufti Negeri Sembilan

SEREMBAN 4 Okt. – Pengerusi Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Faudzinaim Badarudin, dilantik sebagai Mufti Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa 1 Oktober lalu

Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan serta ahli Jilsah Turuq Sufiyyah Negeri Sembilan itu menggantikan Datuk Mohd Yusof Ahmad yang bersara.

Beliau mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah dari Universiti London (1998) dan sarjana dari universiti yang sama (1992) serta Sarjana Muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1989.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, dalam kenyataan mengumumkan pelantikan itu mengucapkan tahniah kepada Prof Madya Dr Faudzinaim.

“Dengan kelayakan dan kemahiran dalam bidang akidah dan kesufian, saya harap beliau dapat membantu meningkatkan pembangunan syiar Islam khususnya buat rakyat di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Faudzinaim, 58, anak kelahiran Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said di Seremban dan melanjutkan pengajian di UKM dalam bidang Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) Fakulti Pengajian Islam.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri berkata, Mohd Faudzinaim mempunyai pengalaman luas bermula sebagai tutor di Jabatan Usuluddin dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam UKM.

Ia disusuli pengajian Ijazah Sarjana di Universiti London (1991-1992) dan Doktor Falsafah di School of Oriental and African Studies (SOAS) pada 1992 hingga 1998.

“Mohd Faudzinaim mula bertugas sebagai tutor di Jabatan Usuluddin dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam UKM dan kemudian sebagai pensyarah di jabatan sama.

“Beliau kemudian menjadi Pensyarah Kanan mulai 1 Februari 2005, diikuti jawatan Profesor Madya di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM mulai 2007.

“Selamat berkhidmat diucapkan semoga jawatan yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi Negeri Sembilan yang dikasihi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment