Pas nafi Dr Mahathir tanding Kemaman

KUALA TERENGGANU 4 Okt. –  Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar  menafikan khabar angin kononnya akan meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kemaman.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, setakat ini Pas belum membuat sebarang perbincangan berkaitan PRK itu termasuk soal calon yang akan bertanding mempertahankan kerusi itu.

“Saya tak dengar pula ura-ura itu, saya baca dalam media dan (setakat ini) tidak ada perbincangan ke arah itu…kami pun sebenarnya belum ‘sit down’ (mesyuarat) lagi dalam kalangan pimpinan tertinggi untuk bincang.

“Tarikh nak bincang pun belum ada lagi dan (mungkin) minggu depan baru ada (dan) kemungkinan (saya) ke Kuala Lumpur ,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman hari ini.

Sebuah portal melaporkan Pas berkemungkinan meletakkan Mahathir sebagai calonnya pada PRK Kemaman.

Sumber rapat bekas Perdana Menteri itu berkata, jika bekas Ahli Parlimen Langkawi itu kembali ke Dewan Rakyat ia akan memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai ‘semak dan imbang’ yang lebih berkesan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Dr. Mahathir baru-baru ini dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan Pas iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu juga tidak menolak kemungkinan mempertaruhkan penyandang kerusi, Che Alias Hamid untuk mewakili Pas sekali lagi pada PRK Parlimen Kemaman.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias yang bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Related posts

Leave a Comment